
Politeknik Kuching Sarawak telah mengadakan Minggu SuaiKenal (MSK) sesi Julai 2008 mulai 7 hingga 12 Julai 2008. Minggu Suai Kenal adalah diwajibkan kepada pelajar semester satu dan ia dijalankan pada minggu pertama sebaik sahaja selesai sesi pendaftaran pelajar baru pada setiap semester. Minggu Suai Kenal ini adalah bertujuan unutk mengenalkan pelajar baru kepada Politekinik Kuching Sarawak. Minggu SuaiKenal pada sesi ini dipengerusikan oleh pegawai HHP (K/D) iaitu Encik Mohd Shah Bin Haji Yunus manakala pengerusi pengelola pula Encik Zulfarahim bin Hibadulah dan Ahli Jawatankuasa Induk (AJK) terdiri daripada pensyarah Politeknik Kuching Sarawak yang telah dilantik. Turut dibantu oleh pelajar senior yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Exco Kamsis dan AJK Pendaftaran. Penghulu MSK pada sesi Julai 2008 ini diketuai oleh saudara Muhammad Ismail Bin Abu Talib daripada ahli JPP.
Minggu SuaiKenal sesi Julai 2008 ini telah dirasmikan oleh Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Tuan Dzulkifli Bin Ismail pada tarikh 11 Julai 2008. Turut dihadiri oleh semua pegawai kanan, ketua jabatan dan pensyarah akademik yang dijemput. Seramai 1030 orang pelajar baru telah melafazkan ikrar pelajar pada hari tersebut. Di dalam ucapan perasmian, pengarah telah menasihatkan pelajar supaya cepat menyesuaikan diri di dalam alam pembelajaran di IPTA seperti politeknik. Selain itu, pelajar hendaklah sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat utama dating ke IPTA iaitu mencari ilmu. Pengarah juga menyeru supaya semua pelajar bersatu berganding bahu untuk menjadikan politeknik ini sebuah institusi yang cemerlang dengan melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pelajar sebaik mungkin.
Pelbagai program telah dilaksanakan sepanjang minggu MSK tersebut. Di antara program atau taklimat yang diadakan ialah seperti, taklimat pendaftaran, taklimat MSK, taklimat kamsis, taklimat HHP (P/D), taklimat HHP (K/D), taklimat penyelia asrama, taklimat ISO, taklimat disiplin, taklimat peperiksaan, taklimat kaunseling, taklimat perpustakaan, taklimat ko-kurikulum, taklimat dari Timbalan Pengarah, taklimat MUET, taklimat koperasi, dan taklimat latihan industri. Semua taklimta ini disampaikan oleh pegawai-pegawai yang berkenaan dengan bidang tersebut. Taklimat dari agensi luar juga turut diadakan seperti taklimat Pelan Integriti Nasional (PIN) dari institut Integriti Malaysia.
Pada malam sebelum hari terakhir MSK, AJK induk dan AJK pelajar senior bersetuju untuk mengadakan malam kebudayaan. Malam kebudayaan ini ialah dimana setiap kumpulan yang mewakili jabatan masing-masing wajib mempersembahkan satu persembahan. Pada hari terakhir MSK, semua pelajar baru sesi Julai 2008 mengikuti program gotong-royong sekitar kampus Politeknik Kuching Sarawak. Bermula 14 Julai 2008, semua pelajar semester 1 sesi Julai 2008 diserahkan kepada jabatan masing-masing untuk mengikut program yang telah diatur oleh AJK jabatan masing-masing. Secara keseluruhannya, Minggu SuaiKenal pada sesi Julai 2008 ini telah berjaya dilaksanakan seperti mana yang telah dirancang. Program Minggu SuaiKenal ini turut merapatkan lagi silaturrahim antara pensyarah PKS dan pelajar semester satu.